suria

Kerajaan Peruntuk RM12 Juta Jayakan Kempen Gaya Hidup Sihat - Liow

BENTONG: Dalam usaha menangani masalah obesiti atau kegemukan pada kalangan rakyat Malaysia, Kementerian Kesihatan memperuntukkan RM12 juta bagi melaksanakan Karnival Jelajah Sihat di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata antara aktviti utama kempen yang akan diadakan di 88 daerah dan kampung itu ialah Program Berjalan Bersama Rakyat.

"Kempen berjalan 10,000 langkah ini yang telah dimulakan sebelum ini adalah antara usaha kerajaan untuk mengurangkan masalah kegemukan kerana ia merupakan ancaman utama yang mendedahkan rakyat negara ini kepada penyakit darah tinggi, kolestrol dan kencing manis," katanya, di sini, Ahad.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Jelajah Sihat Peringkat Kebangsaan, berkata kempen akan melibatkan semua lapisan masyarakat bagi memerangi penyakit tidak berjangkit itu.

Katanya statistik penghidap kencing manis dan darah tinggi terus meningkat setiap tahun iaitu daripada 11 peratus pada 2006 kepada 15 peratus tahun lalu.

"Manakala 20 peratus rakyat dikesan mengandungi kolestrol yang tinggi pada tahun 2006 dan meningkat kepada 35 peratus dalam tempoh yang sama," katanya.

Beliau berkata daripada saringan yang dijalankan, terdapat 2.6 juta rakyat negara ini menghidap penyakit kencing manis dan jumlah itu tidak termasuk mereka yang dipercayai menghidap penyakit tersebut tetapi tidak dapat dikesan.

"Kerajaan akan terus berusaha menjalan pelbagai kempen pendidikan dan memberikan maklumat kepada rakyat bagaimana untuk memupuk amalan cara hidup sihat.

"Saringan di peringkat awal juga penting untuk meningkatkan kesedaran rakyat yang lebih baik bagi menghindari mereka terdedah kepada penyakit kronik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain