suria

Jakim Akan Teliti Buku Karya Manji Sebelum Pengharaman Dibuat

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti sebuah buku yang dihasilkan oleh penulis kontroversi, Irshad Manji sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan karya sasteranya.

Ketua Pengarah Jabatannya, Datuk Othman Mustapha berkata, walaupun terdapat aduan bahawa buku terbaru Manji yang bertajuk 'Allah, Liberty and Love' menghina Islam, jabatan itu perlu meneliti buku tersebut terlebih dahulu.

"Kami akan mendapatkan beberapa salinan buku itu dengan segera. Sebaik saja kami menelitinya dan menemui sebab mengapa ia perlu diharamkan, kami akan mengemukakan cadangan kepada kementerian," katanya.

Penulis kelahiran Kanada itu melancarkan buku terbarunya dalam versi Bahasa Malaysia bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini, Sabtu.

Manji turut dijadualkan menghadiri beberapa program bual bicara tetapi terpaksa dibatalkan kerana mendapat bantahan.

Buku tersebut diterbitkan oleh ZI Publications.

Buku pertamanya, The Trouble With Islam Today:A Muslims Call for Reform in Her Faith telah pun diharamkan di Malaysia.

Fahaman liberal Manji terhadap Islam menerima kritikan hebat dan dia turut disifatkan sebagai 'aktivis homoseksual'.

Pelbagai pihak bukan saja menggesa kerajaan untuk mengharamkan buku karya Manji tetapi tidak membenarkannya memasuki Malaysia lagi.

Manji dijadualkan berlepas ke New York pada malam Sabtu.

Artikel Lain