suria

Pertahan Keharmonian & Kestabilan Politik Untuk Berkembang Maju - Muhyiddin

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat di negara ini mempertahankan keharmonian dan kestabilan politik di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya ekonomi negara terus berkembang maju pada masa akan datang.

Oleh yang demikian, beliau mengajak rakyat menolak hasutan pihak tertentu supaya menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Beliau berkata tidak ada sebab mengapa kerajaan yang ada sekarang harus ditukar kerana BN boleh mentadbir dan mengurus negara dengan adanya kerjasama daripada masyarakat pelbagai kaum.

"Kita (BN) mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh lapan tahun lagi," katanya sambil menegaskan hanya BN dapat menjamin kemajuan tersebut.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata demikian ketika berucap pada majlis Hari Keluarga Kumpulan Leong Hup di padang Kompleks Sukan Pagoh di sini Sabtu.

Turut hadir Pengarah Urusan kumpulan tersebut Tan Sri Francis Lau.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, jalinan kerjasama antara kerajaan dan syarikat pembekal makanan di negara ini turut membantu perkembangan ekonomi.

Beliau memberikan contoh bagaimana Kumpulan Leong Hup yang merupakan pengeluar bekalan daging ayam terbesar di Malaysia dapat membantu mengekalkan harga daging ayam pada kadar munasabah walaupun terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga bahan makanan ternakan. - BERNAMA

Artikel Lain