suria

Muhyiddin Hargai Kenyataan Tunku Aziz

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghargai kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan perkara yang betul di dalam program transformasi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini dan perlu disokong.

Beliau berkata kenyataan bekas penasihat Bank Negara itu adalah rasional dan patut menjadi contoh kepada masyarakat. "Saya amat menghargai pandangan daripada seseorang (Tunku Abdul Aziz) yang faham dengan situasi," katanya kepada pemberita di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini, Sabtu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Keluarga syarikat Leong Hup di Kompleks Sukan Pagoh.

Mengenai dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng melakukan rasuah apabila menawarkan Tunku Abdul Aziz jawatan dan gaji selepas peletakan jawatannya, beliau berkata: "Itu bukan tanggungjawab kita, saya serah pada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)".

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, peletakan jawatan Tunku Abdul Aziz kerana perbezaan pendapat dengan pucuk pimpinan tentang perhimpunan Bersih 3.0 membuktikan DAP parti kuku besi, walaupun akronimnya 'Democratic Action Party'.

Beliau juga berkata DAP kini menjadi semakin sombong berikutan dakwaan kononnya ramai di kalangan masyarakat Cina yang menyertai parti itu. "Kita dapat lihat belangnya sekarang," kata Muhyiddin. -BERNAMA

Artikel Lain