suria

GWGF Sokong Perkongsian Strategik FGVH

SHAH ALAM: Gabungan Wawasan Generasi Felda menyokong penuh perkongsian strategik Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) dengan dua syarikat terkemuka di London, bagi membolehkan FGVH muncul sebagai syarikat komoditi yang paling kukuh dan berjaya.

Pengerusinya Tan Sri Rozali Ismail berkata hasil perkongsian itu bukan sahaja meletakkan FGVH sebagai syarikat komoditi disegani, tetapi juga bakal memberi ganjaran kepada seluruh keluarga peneroka.

"Keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dengan mendapatkan syarikat-syarikat yang besar dan berprestasi tinggi serta mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bergabung bersama FGVH adalah tindakan yang wajar.

"Saya percaya dengan langkah ini ia akan menjamin kedudukan FGVH dan saham-saham FGVH akan terus kukuh di pasaran pada masa-masa akan datang, seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat peneroka," katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.

Beliau berkata FGVH memerlukan syarikat besar untuk menyokong kedudukannya, namun pemilihan syarikat terbabit harus dilakukan dengan berhati-hati bagi menjaga kepentingan FGVH.

Selasa lepas, FGVH menandatangani dua perjanjian dengan Louis Dreyfus Commodities Asia Pte Ltd (LDCA) dan Vitol S.A bagi mengadakan usahasama dalam mengukuhkan kedudukan FGVH sebagai syarikat komoditi terbesar dari peringkat perladangan sehingga ke pasaran.

Sementara itu, ditanya mengenai peneroka yang menentang penyenaraian FGVH tetapi tetap mengambil 'durian runtuh' yang diberi, Rozali berkata perkara tersebut menunjukkan mereka tiada masalah dengan penyenaraian berkenaan.

Beliau juga berkata hanya kira-kira 02 peratus peneroka menentang penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain