suria

Bekas Tahanan Simpang Renggam Terus Mengganas

KUALA LUMPUR: Baru sahaja tiga bulan keluar dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor, lima bekas tahanannya melakukan tiga lagi kes samun sebelum tiga daripadanya ditahan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata pada mulanya mereka menyamun rumah seorang wanita pada 2.45 pagi pada Rabu lepas di Taman Wahyu, Jalan Kuching di sini.

"Mereka datang ke rumah wanita itu dengan tiga buah motosikal dan memasuki rumah wanita itu dengan menyamar sebagai polis yang salah seorang daripadanya mempunyai alat walkie-talkie.

"Mereka kemudiannya melarikan kereta Toyota Camry wanita berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Ku berkata setelah menyamun wanita itu, mereka menyamun pula sebuah kedai telefon bimbit di Pagoh, Muar.

Ketika dalam perjalanan pulang ke ibu negara selepas kejadian itu, mereka terus menyamun sebuah mesin menukar duit syiling di Pekan Pagoh, katanya.

Beliau berkata mangsa pertama telah membuat laporan polis mengenai kehilangan keretanya semalam dan hasil siasatan, polis akhirnya menemui kereta tersebut di sebuah bengkel di Keramat di sini.

Ku berkata hasil maklumat orang ramai, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Keramat semalam dan menahan salah seorang ahli kumpulan itu yang turut memiliki parang dan telah bergelut dengan polis sehingga polis terpaksa melepaskan tambakan.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri. Suspek hanya cedera akibat bergesel peluru di badannya manakala seorang anggota polis cedera di tangan kiri akibat pergelutan.

"Kedua-dua mereka kini di rawat di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata susulan tangkapan itu, dua lagi anggota kumpulan berkenaan ditahan di sekitar ibu negara semalam manakala dua lagi masih diburu.

Katanya suspek yang ditahan berumur antara 23 dan 27 tahun.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Polis turut merampas wang tunai RM2,000, lima bilah parang, lima telefon bimbit, tiga buah komputer riba dan tiga beg sandang jenis kulit. - BERNAMA

Artikel Lain