suria

Operasi Imigresen: 39 Warga Asing Temasuk Lima Kanak-Kanak Ditahan

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan 39 warga asing termasuk lima kanak-kanak dalam 'Operasi Pintu ke Pintu' melibatkan empat taman perumahan di sekitar negeri ini bermula malam Rabu hingga awal pagi Khamis.

Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga India, 10 lelaki dan 15 wanita warga Indonesia, lapan lelaki warga Nepal serta dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan warga Indonesia.

Beliau berkata, mereka yang berusia antara dua hingga 52 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di 13 rumah di Taman Merdeka, Taman Cheng Ria, Bukit Serindit dan Tangga Batu antara jam 10 malam Rabu hingga 6 pagi Khamis.

"Di Taman Cheng Ria seorang lelaki Indonesia berusia lingkungan 35 tahun cuba melarikan diri melalui tingkap di sebuah apartmen di tingkat empat namun tidak berjaya.

"Lelaki tersebut bergayut pada dawai ampaian di tingkap tersebut hampir dua minit dan nyaris jatuh sebelum ditarik oleh pegawai imigresen," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh di sini.

Beliau berkata, lelaki yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah itu ditahan bersama wanita berusia 28 tahun yang diakui sebagai tunangnya dan mempunyai pas lawatan kerja sementara.

Katanya, dalam operasi sama, sembilan wanita termasuk tuan rumah warga Indonesia serta dua anaknya yang berusia antara dua dan lima tahun ditahan di Bukit Serindit.

Kamalludin berkata, tuan rumah berusia 40an itu dipercayai terlibat dalam sindiket bekalan pembantu rumah secara tidak sah yang telah beroperasi lebih dua tahun.

Beliau berkata, wanita tersebut ditahan kerana memberi pelindungan kepada pendatang tanpa izin.

Katanya, turut ditahan sepasang suami isteri berusia 30an bersama tiga anak mereka yang dipercayai telah menetap di negara ini lebih 12 tahun tanpa dokumen sah. - BERNAMA

Artikel Lain