suria

Polis Tahan Buruh Ladang Edar Dadah Guna Pam Racun

IPOH: Taktik seorang buruh ladang menyorokkan dadah di dalam pam racun yang dibawanya, gagal menyelamatkan suspek pengedar dadah itu daripada ditahan polis dalam satu operasi petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Fakri Che Sulaiman berkata lelaki tempatan berusia 48 tahun itu ditahan dalam serbuan di kebun kelapa sawit Jalan Bakar Arang, Jejawi, Parit.

Ketika ditahan, polis menemui dadah dipercayai jenis syabu seberat 60 gram, bernilai RM14,400 yang disorokkan di dalam pam racun yang disandangnya, katanya ketika dihubungi, di sini, Rabu.

Katanya kuantiti dadah itu cukup untuk 50 penagih.

Lelaki ini dipercayai menjalankan kegiatannya sejak beberapa bulan lepas dan disedari penduduk kampung yang kemudian membuat laporan, katanya.

Lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung hingga mati, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain