suria

Polis Reman Suspek Dera Kanak-Kanak Dua Tahun Selama Empat Hari

KUALA TERENGGANU: Polis, pada Khamis, mendapat perintah mereman empat hari, lelaki yang dipercayai mendera seorang budak berumur dua tahun sehingga koma pada 20 April lepas, bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah itu dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Mohd Rusli Ahmad.

Lelaki berusia 31 itu ditahan pada pukul 2 petang semalam di Kampung Tualang, Manir dekat sini selepas lebih tiga minggu melarikan diri daripada buruan polis.

Dalam kejadian 22 April lalu, akhbar melaporkan seorang budak lelaki berusia dua tahun koma akibat pendarahan otak selepas ditampar suspek yang juga teman lelaki ibunya di sebuah rumah.

Suspek yang dipercayai berang dengan kerenah mangsa selain berselisih faham dengan ibu kanak-kanak itu, dilaporkan menampar mangsa sehingga tidak sedarkan diri.

Ekoran kejadian itu, kanak-kanak berkenaan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). - BERNAMA

Artikel Lain