suria

Polis Rampas Eramin Dan Ekstasi Bernilai RM5.2 Juta

SHAH ALAM: Polis merampas hampir 160,000 biji pil dipercayai dadah jenis Eramin 5 dan ekstasi bernilai RM5.2 juta dan menahan dua lelaki warga tempatan dalam serbuan di sebuah rumah teres yang dijadikan stor menyimpan dadah berkenaan di Taman Kinrara, Puchong dekat sini Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata ketika serbuan pada pukul 10 pagi itu, polis menemui 69,750 biji pil Eramin 5 dan 29,900 biji ekstasi yang disembunyikan di dalam kotak di sebuah bilik tidur utama rumah berkenaan.

"Pihak polis kemudian telah memeriksa bonet sebuah kereta jenis Proton Saga yang diletakkan di tempat letak kereta rumah berkenaan yang membawa kepada penemuan 37,500 biji pil Eramin 5 dan 21,800 biji ecstasy lagi.

"Kita turut menyita sebuah lagi kereta jenis sama bagi menyiasat punca kewangan suspek membeli kereta itu sedangkan dia tidak bekerja," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, Khamis.

Nordin berkata dua lelaki yang ditahan itu berusia 30 dan 36 tahun di mana seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Beliau berkata hasil ujian air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah dan mereka dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lepas.

"Kedua-dua mereka kini ditahan reman selama seminggu dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya kedua-dua suspek mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa yang berjaya ditumpaskan pihak polis baru-baru ini.

Sabtu lepas polis menumpaskan sindiket memproses dadah jenis Eramin 5 yang bernilai RM43 juta dengan tertangkapnya 25 anggota sindiket termasuk warga Taiwan dan Nepal dalam 15 serbuan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Klang. - BERNAMA

Artikel Lain