suria

Pemandu Maut Kereta Terbabas Dan Langgar Kedai Makan

SEREMBAN: Seorang lelaki maut setelah kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar sebuah kedai makan di Jalan Mantin-Lenggeng dekat sini, awal hari Rabu.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Chong Hon Seng, 30-an, yang cedera parah di kepala dan badan, mati di tempat kejadian.

Katanya kemalangan itu dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar sebuah kedai makan di situ.

"Akibat rempuhan kuat itu menyebabkan kedai tersebut roboh dan ketika kejadian pemilik kedai makan berkenaan ada di situ namun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk dibedah siasat.

Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7583222 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain