suria

Pemandu Lori Dipenjara Tiga Tahun Kerana Tipu Majikan

PETALING JAYA: Seorang pemandu lori dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah memalsukan 16 resit jualan membabitkan sejumlah RM18,536.60, dua tahun lepas.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Chan Ban Hoo, 40, yang didakwa menggunakan resit berkenaan untuk menipu majikannya, Chan Sow Fong, 48, pemilik kepada syarikat pembekal ayam dan itik, Sang Lee Trading Co.(Corporation).

Ban Hoo didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 Julai hingga 3 Sept 2010, di premis syarikat di Jalan 18/50, Taman Sri Serdang, Seri Kembangan, Selangor, di antara 8.00 pagi hingga 7.00 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa mendapati nombor siri resit dalam simpanannya berbeza daripada pelanggan yang menunjukkan dua jumlah bayaran berbeza dalam invois.

Bagi setiap pertuduhan Hakim Rozina memerintahkan Ban Hoo menjalani hukumannya itu secara serentak.

Terdahulu, peguam Arden Kuan Chee Yoon yang mewakili tetuduh meminta mahkamah mempertimbangkan hukuman terhadap anak guamnya itu kerana sudahpun menjelaskan sebahagian daripada wang kerugian yang ditanggung majikannya.

Selepas menjatuhkan hukuman Hakim Rozina menasihati tertuduh belajar daripada kesilapan itu dan menjadikannya pengajaran. - BERNAMA

Artikel Lain