suria

Kenyataan Irene Menyimpang Daripada Keadaan Sebenar - Abu Seman

KUALA LUMPUR: Kenyataan Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez mengenai nasib buruk golongan migran di negara ini jauh menyimpang dan tidak menceritakan keadaan sebenar di negara ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau berkata, tuduhan Irene kononnya Malaysia tidak mempunyai perundangan yang melindungi golongan pendatang boleh dilihat sebagai cubaan untuk memburuk-burukkan kepimpinan negara.

"Negara ini juga melaksanakan pelbagai mekanisme bagi memberi perlindungan kepada mangsa eksploitasi buruh," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah perantaraan Kuala Lumpur di sini, Khamis.

Ditanya mengenai tindakan terhadap Irene, Abu Seman berkata, ia bergantung kepada siasatan polis terhadap isu itu.

Irene dalam temu bual yang disiarkan dalam bentuk soal jawab di The Jakarta Post pada 7 Mei lepas, antara lain mendakwa Malaysia sebuah negara yang tidak selamat untuk pekerja Indonesia kerana tiada undang-undang khusus menjaga kebajikan pekerja.

Mengenai rumah perantaraan yang merupakan 'Program Penempatan Semula Banduan Selepas Dibebaskan Dari Penjara', Abu Seman berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan program itu diperluas kepada bekas banduan wanita. - BERNAMA

Artikel Lain