suria

Dua Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Loke Yew

KUALA LUMPUR: Dua maut apabila kereta yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan lain yang terbabas dari laluan bertentangan di Jalan Loke Yew, Cheras malam Rabu.

Lee Kian Hoo (lelaki), 30, dan penumpangnya, Choo Pei Pei (wanita), 24, tersepit dalam kereta dan mati di tempat kejadian.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata kejadian pada pukul 11.45 malam itu turut menyebabkan pemandu kereta yang merempuh kereta dinaiki mangsa cedera parah.

Phang Chee Yong (lelaki), 37, dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia manakala mayat Lee dan Choo dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Abdullah berkata semasa kejadian, kereta yang dipandu Phang, yang dalam perjalanan dari arah Kajang ke pusat bandar, hilang kawalan dan melanggar tiang lampu.

"Kereta itu kemudian merempuh penghadang jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain