suria

Suspek Kes Dera Kanak-Kanak 2 Tahun Ditahan

KUALA TERENGGANU: Polis pada Rabu menahan suspek utama kes dera seorang kanak-kanak Mohd Danish Aiman Abdullah, 2, di sebuah warung di Manir di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata suspek berumur 31 tahun itu ditahan pukul 2 petang oleh anggota polis yang sedang meronda di kawasan pasar Manir.

Sebelum itu, suspek yang menyedari kehadiran polis melarikan diri ke belakang warung dan bergelut untuk melepaskan diri sebelum dapat ditangkap,katanya kepada pemberita di sini.

Manoharan berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Jelasnya suspek direman bermula esok untuk siasatan lanjut dan juga bagi melengkapkan siasatan berhubung kes dera berkenaan.

Pada 21 April lalu, seorang kanak-kanak koma setelah dipercayai didera dengan ditampar oleh teman lelaki ibunya ekoran perselisihan faham antara wanita itu dengan lelaki tersebut.

Akibat penderaan itu, Mohd Danish mengalami pendarahan pada otak, namun keadaannya dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.

Kanak-kanak malang itu terpaksa menjalani pembedahan susulan selepas ini ekoran kecederaan yang dialami selain terdapat kesan kecederaan lama dipercayai sudah banyak kali didera.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya. - BERNAMA

Artikel Lain