suria

Sindiket Tawar Pekerjaan Untuk Jerat Mangsa Jadi Hamba Seks - Abdul Jalil

KUALA LUMPUR: Sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa menggunakan taktik menjerat mangsa melalui helah menawarkan pelbagai pekerjaan sebelum mengeksploitasi mangsa untuk bekerja sebagai hamba seks di negara ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata mangsa dijanjikan dengan pekerjaan yang baik, tetapi apabila tiba di Malaysia mereka diberitahu pekerjaan itu tidak wujud.

"Mangsa yang sudah terjerat apabila berhutang dengan sindiket bagi tujuan visa, tiket kapal terbang dan urusan ejen pekerjaan terpaksa bekerja mengikut kemahuan sindiket termasuk menjadi pelacur, pegawai perhubungan pelanggan (GRO) atau akan dikahwinkan dengan lelaki yang mahukan mereka.

"Kebanyakan mangsa datang dari negara seperti Indonesia, Filipina dan China," kata Abdul Jalil ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kebanyakan mangsa diperdaya kononnya mereka berhutang dengan sindiket itu sehingga mencecah antara US$6,000 dan US$8,000.

Justeru, polis melakukan risikan dan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membanteras kegiatan itu, di samping maklumat orang awam.

Abdul Jalil berkata bilangan kes berkaitan pemerdagangan manusia di negara ini menurun sejak 2008.

"Pada 2008, 465 kes dilapor membabitkan pelbagai kesalahan seperti eksploitasi seks dan perkhidmatan paksa selain 650 tangkapan dilakukan," katanya.

Angka itu menurun kepada 151 kes pada 2009, 132 pada 2010 dan 116 pada 2011, manakal bagi tiga bulan pertama tahun ini sebanyak 49 kes dilaporkan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain