suria

Rela Ubah Nama Baru Mulai Jun

BESUT: Mulai 2 Jun ini, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan ditukar kepada nama baru yang lebih sesuai dengan peranannya sebagai sebuah agensi keselamatan negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, dengan penguatkuasaan nama itu, Rela akan dikenali sebagai Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia.

"Walaupun berlaku sedikit perubahan pada pangkal nama, tetapi ianya masih menggunakan singkatan panggilan sebagai Rela," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan anggota Rela di Dewan Gong Kemuntong di sini, Selasa.

Jelasnya, pertukaran nama baru yang berimejkan sebuah pasukan keselamatan selaras dengan akta baru Rela yang diluluskan Parlimen April lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop membentangkan Rang Undang-Undang Rela 2012 yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan, tugas dan kuasa Pasukan Rela terbahagi kepada enam bahagian dan 28 fasal yang menyentuh peruntukan bagi penubuhan, tugas dan kuasa pasukan itu.

"Berikutan pindaan baru akta agensi itu, pihak Rela juga akan melakukan beberapa perubahan dan penyusunan semula fungsi Rela supaya lebih sistematik dan berdaya saing," katanya.

Mustafa juga berkata, selepas lebih 40 tahun ditubuhkan, Rela juga akan mempunyai pasukan profesional yang dikenali sebagai Skuad Kejuruteraan dan Skuad Medikal Perubatan yang akan ditubuhkan pasukan itu tidak lama lagi.

Katanya, penubuhan skuad baru itu sebahagian usaha Rela untuk menarik minat penyertaan rakyat negara ini menyertai agensi itu terutama membabitkan golongan profesional dan belia.

Menurutnya, langkah itu juga dilakukan bagi memastikan peranan Rela lebih dinamik dan dapat memenuhi keperluan dan cabaran semasa. - BERNAMA

Artikel Lain