suria

Rela, Dua NGO Buat Laporan Polis Berhubung Kenyataan Irene Fernandez

KUALA LUMPUR: Dua badan bukan kerajaan dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) membuat laporan polis untuk pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez berhubung kenyataannya mengenai hal ehwal pekerja asing, yang disifatkan mencemar nama baik negara.

Seramai 30 wakil NGO iaitu Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Dewan Ekonomi dan Sosial Malaysia (Desmma) serta Rela tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 11 pagi untuk membuat laporan itu.

Selepas sejam membuat laporan polis, Leftenan Kolonel Rela Putrajaya Mohd Sani Mohd Zin, yang ditemui pemberita, berkata kenyataan Irene dalam Yahoo News di Bangladesh dua hari lepas, kononnya warga asing dianiayai di negara ini, mengecewakan 2.6 juta anggota pertubuhan itu.

"Dia juga cuba merosakkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bangladesh," katanya.

Presiden IRIMM Amir Amsaa Alla Pitchay pula menafikan dakwaan Irene yang disiarkan Jakarta Post minggu lepas, kononnya Malaysia bukanlah negara terbaik untuk pekerja Indonesia serta menuduh polis menggunakan kuasa untuk menembak penjenayah.

Justeru, beliau menggesa Irene memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas kenyataannya itu, yang disifatkan berniat jahat serta memperlihatkan tahap pemikiran cetek. - BERNAMA

Artikel Lain