suria

Polis Tahan Sepasang Suami Isteri Curi Kabel Di Sik

BUKIT KAYU HITAM: Polis menahan sepasang suami isteri, manakala dua lagi rakan mereka melarikan diri ketika melakukan serbuan semasa kesemua suspek sedang membakar penyalut kabel curi di kawasan kebun getah di kampung Danglau, Si, pada Isnin.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam serbuan kira-kira 3.30 petang itu, lelaki berusia 35 itu turut mengalami kecederaan di perut akibat terkena tembakan dilepaskan polis ketika kereta yang dipandu suspek cuba merempuh kenderaan polis yang menghalang laluan.

"Empat suspek cuba melarikan diri dengan dua buah kereta dan kereta yang dinaiki pasangan suami isteri itu cuba merempuh MPV polis, manakala sebuah lagi kereta sempat melarikan diri. "Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki suspek adalah kereta curi, manakala sebuah lagi kereta kita sedang kesan pemiliknya," kata Ahmad kepada pemberita selepas majlis Serah Menyerah Operasi Wawasan di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, di sini, Selasa.

Ahmad berkata isteri suspek yang berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu manakala suspek kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan keadaannya dilaporkan stabil. Katanya siasatan awal polis mendapati suspek lelaki yang berasal dari Alor Setar itu mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

Menurutnya suspek dipercayai mengumpulkan kabel-kabel yang dicuri di kebun getah berkenaan untuk membakar penyalutnya bagi mendapatkan tembaga untuk dijual.

Beliau berkata aktiviti kumpulan pencuri kabel itu bagaimanapun dapat dikesan oleh orang kampung yang kemudiannya melaporkannya kepada pihak polis.

Ahmad berkata identiti dua suspek yang melarikan diri juga telah dikenal pasti dan polis sedang memburu mereka. -BERNAMA

Artikel Lain