suria

Polis Tahan Lima Lelaki Berhubung Kes Culik Dua Warga Asing

IPOH: Polis menahan lima lelaki, empat daripadanya warga asing dan seorang warga tempatan kerana dipercayai menculik dua lelaki Bangladesh di sebuah rumah di Taman Jati, Jelapang di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata mereka berusia antara 18 hingga 46 tahun ditahan antara 3 petang hingga 9.30 malam semalam di sebuah rumah di Jelapang.

Polis turut menyelamatkan dan membebaskan dua warga asing yang diculik dan dikurung di rumah tersebut, katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Polis turut menemui lima bilah pisau, telefon bimbit dan dompet.

Azisman berkata mangsa pertama yang berusia 27 tahun diculik pada pukul 9.30 malam di Jelapang manakala mangsa kedua diculik pada pukul 11 malam di Simpang Pulai.

"Kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan itu dikurung di dalam bilik rumah berkenaan. Kejadian itu telah dilaporkan oleh keluarga dan rakan mangsa apabila dihubungi kumpulan lelaki itu untuk meminta wang tebusan sebanyak RM15,000 dan RM50,000," katanya.

Beliau berkata bertindak atas maklumat tersebut, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan suspek serta mangsa.

Kelima-lima suspek kini direman selama seminggu untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Artikel Lain