suria

PAS Perlu Ikhlas Jika Mahu Bermuzakarah Dengan Umno - Fatmi

KOTA BAHARU: PAS perlu ikhlas jika berhasrat mahu mengadakan muzakarah dengan Umno sekiranya bertujuan memantapkan perpaduan bangsa Melayu dan memperteguhkan Islam di negara ini.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata PAS tidak sepatutnya meletakkan syarat tertentu bagi mengadakan muzakarah itu yang telah lama ditunggu Umno.

"Tetapi janganlah meletakkan syarat yang tidak sepatutnya jika mahu mengadakan muzakarah kerana yang penting adalah mengutamakan perpaduan bangsa Melayu dan juga Islam.

"Kalau ikhlas untuk itu jangan hanya diuar-uarkan di akhbar sahaja, buatlah permohonan rasmi dan cari orang tengah untuk berunding dan mengadakan muzakarah, ini adalah sesuatu yang sangat disokong," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di sini, Rabu.

Hari ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju supaya parti itu membuka pintu untuk bermuzakarah dengan mana-mana dengan pertubuhan badan kerajaan (NGO) Islam termasuk Umno tetapi dengan persoalan pokok kenapa menolak Islam.

"Memang sejak saya balik (dari belajar di luar negara) Datuk Asri Muda mahu bermuzakarah dengan Tunku Abdul Rahman tetapi tidak jadi-jadi sampai sekarang, saya setuju muzakarah itu fitrah manusia, tajuk dia kenapa tolak Islam," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di sini.

Mengulas perkara itu Fatmi berkata muzakarah sepatutnya adalah untuk kebaikan semua pihak dengan niat yang benar-benar ikhlas dan bukannya mahu menunjukkan siapa yang kuat.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata PAS Kelantan telah bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Sekali lagi saya ulangi tidak perlu fikirkan tarikh pilihan raya, tidak ada orang nak cari tarikh mati bila. Masalahnya lepas mati itu syurga atau neraka begitu juga selepas pilihan raya kerajaan yang dibentuk itu Islam atau sebaliknya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain