suria

Kastam Sabah Rampas Minuman Keras Seludup Bernilai RM110,000

KOTA KINABALU: Kastam Diraja Malaysia Sabah dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sabah merampas 659 karton minuman keras pelbagai jenama yang membabitkan cukai bernilai RM110,000 di Pekan Donggongon, Penampang dekat sini, Selasa.

Timbalan Pengarah Kastam Negeri Sabah (Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan) Hamzah Sundang berkata operasi yang diketuai oleh Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kota Kinabalu dan agensi SPRM bersama 14 anggota kedua-dua jabatan itu turut menahan pemilik premis yang berumur lingkungan 55 tahun untuk siasatan lanjut.

"Turut disita dua buah kenderaan jenis van mengandungi minuman keras yang diletakkan di hadapan premis berkenaan dan dianggarkan bernilai RM60,000 pada serbuan pukul 3 petang itu," katanya dalam satu kenyataan akhbar kepada Bernama di sini, Rabu.

Hamzah berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, jabatan Kastam berterima kasih atas kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke talian 088-233251 atau 088-250842. - BERNAMA

Artikel Lain