suria

Semua Penerima Bantuan JKM Kedah Akan Terima BR1M Segera - Seai Kie

KULIM: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi jaminan hampir 80,000 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah akan menerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam kadar segera.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Heng Seai Kie yang memberi jaminan itu, turut meminta mereka tidak terpengaruh dengan khabar angin yang disebar pihak tertentu bertujuan memperkecil-kecilkan pemberian itu.

"Saya akan menyiasat perkara ini (khabar angin) untuk pastikan semua penerima skim bantuan JKM di Kedah menerima BR1M," kata Heng kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Masuk Kampung peringkat daerah Kulim di Rumah Bakti di sini, Selasa.

Heng berkata masalah penerima cacat penglihatan yang belum menerima bantuan mungkin berpunca daripada masalah teknikal.

Terdahulu ketika berucap merasmikan Pusat Pembangunan Komuniti Kamaskshi di Taman Tiram, Lunas dekat sini dalam program itu, beliau berkata kerajaan membelanjakan RM307.5 juta untuk menyediakan kemudahan kepada 106,330 Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negara.

Katanya bantuan itu termasuk kemudahan kepada 468 buah Pusat Dalam Komuniti(PDK) membabitkan 20,104 OKU, kanak-kanak dan orang dewasa manakala di Kedah terdapat 32 PDK dengan seramai 1,670 OKU.

"Pusat-pusat ini bertujuan meningkatkan kecekapan dan bagi membantu golongan OKU menjalani kehidupan sempurna demi masa depan mereka agar tidak bergantung kepada pembantu atau ibu bapa," katanya.

Heng berkata kementerian turut menyampaikan bantuan tambahan setiap tahun kepada PDK untuk melaksanakan pelbagai program.

Pengerusi PDK Kamaskshi, Dr S. Karnaneedi dan Yang Dipertuanya, N. Kamalavanthy turut hadir dan menerima sumbangan kementerian sebanyak RM50,000 daripada Heng pada majlis itu.

Seramai 160 kanak-kanak istimewa yang berdaftar dengan PDK menjalani sesi terapi, dikendalikan jurupulih terapi berpengalaman yang memberi perkhidmatan sukarela. -BERNAMA

Artikel Lain