suria

Remaja OKU Hilang Di Masai

JOHOR BAHARU: Sepasang suami isteri merayu orang ramai untuk membantu mengesan anak mereka yang hilang ketika berada di sebuah surau berhampiran rumah mereka di Kampung Sungai Rinting C, Masai sejak Khamis lepas.

Sarmidi Subir, 48, berkata Saiful Sarmidi, 21, yang merupakan anak sindrom down disedari tidak berada di Surau Haji Osman kira-kira 50 meter dari rumah mereka kira-kira pukul 3.30 petang oleh sepupunya Suhana Hasri, 23.

"Suhana mendapati Saiful masih berada di surau berkenaan pada tengah hari. Kehilangan Saiful hanya disedari pada pukul 3.30 petang ketika Suhana mahu memanggilnya untuk pulang ke rumah," katanya kepada pemberita di rumahnya pada Selasa.

Sarmidi yang bekerja sebagai buruh binaan berkata Saiful yang memegang kad akuan Orang Kelainan Upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat, jarang merayau-rayau jauh dari rumah mereka malah remaja berkenaan cepat berasa penat apabila melakukan aktiviti luar.

Dia yang ditemani isteri, Zaleha Rasidi, 43, berkata kali terakhir mereka berjumpa dengan anak sulung dari dua beradik itu adalah kira-kira 8.30 pagi sebelum mereka berdua keluar bekerja.

"Saiful yang berbadan gempal memakai baju T berwarna merah, seluar jeans hitam dan topi berwarna kuning pada hari berkenaan. Dia turut membawa beg kertas berwarna merah yang berisi sebotol minuman dan kuih jemput-jemput sebelum keluar ke surau," katanya.

Menurut Sarmidi, penduduk kampung berkenaan sudah puas mencari Saiful di merata tempat termasuk menampal gambar anaknya di Terminal Larkin Sentral, namun, belum menampakkan hasil.

Sehubungan itu, Sarmidi membuat satu laporan di Balai Polis Masai sehari selepas kehilangan anaknya dan dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya supaya menghubunginya di talian 012-7513901 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk M. Munusamy yang hadir bagi memberi bantuan kepada keluarga berkenaan berkata pihaknya akan berusaha menyebarkan maklumat kehilangan Saiful menggunakan media baru termasuk Facebook bagi mengesan remaja berkenaan.

Beliau dalam masa yang sama turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan secepat mungkin berhubung kes berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain