suria

MAS Laksana Peraturan Baru Bagasi Kabin Esok

KUALA LUMPUR: Dalam persediaan untuk menyertai oneworld Alliance, Malaysian Airline System pada Selasa mengumumkan peraturan baru bagasi kabin syarikat itu yang akan dilaksanakan untuk semula penerbangan mulai esok.

Menurut kenyataan MAS, penumpang kelas ekonomi hanya boleh membawa satu bagasi tangan dengan berat maksimum 7 kilogram (kg) manakala penumpang kelas Bisnes dan kelas Pertama, dibenarkan membawa dua bagasi tangan.

Setiap bagasi tangan tidak boleh melebihi 36 sentimeter (sm) panjang, 23sm lebar dan 56sm tinggi. Semua bagasi kabin mesti mematuhi undang-undang tempatan serta langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan oleh lapangan terbang. Kadar biasa akan dikenakan ke atas bagasi yang melebihi ketetapan itu.

Selain itu, setiap penumpang dibenarkan membawa beg tangan kecil dan tongkat, dan salah satu daripada barangan berikut: notebook/komputer riba, beg bimbit, beg kamera atau beg binokular.

Mereka yang membawa bayi, boleh membawa satu beg mengandungi makanan bayi dan lampin tidak melebihi 5kg, kot dan kereta sorong bayi boleh lipat.

Oneworld Alliance ialah rangkaian syarikat penerbangan yang terbang ke 950 destinasi di 150 negara. Menerusi gabungan lebih 2,600 pesawat yang melakukan 10,000 penerbangan sehari, oneworld mengangkut 358 juta penumpang setahun. Syarikat penerbangan itu dijadual menyertai oneworld alliance menjelang akhir tahun. - BERNAMA

Artikel Lain