suria

KPDNKK P. Pinang Tumpas Kegiatan Seleweng Diesel

GEORGE TOWN: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Farlim, Ayer Itam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, M.Guna Selan Marian berkata bertindak atas risikan dan intipan selama dua minggu, sepasukan penguatkuasa KPDNKK menahan sebuah lori yang membawa 3,500 liter minyak diesel berharga RM6,300 pada pukul 8.40 malam semalam.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah tangki besi yang diubah suai diletakkan di bahagian belakang lori itu yang boleh memuatkan sehingga 7,000 liter minyak. " Mereka juga cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan tangki itu menggunakan tayar terpakai dan menutupnya dengan kanvas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Guna Selan berkata hasil siasatan awal mendapati kegiatan penyelewengan itu beroperasi sejak beberapa bulan lepas dan beliau yakin terdapat petugas stesen minyak bersengkongkol dengan kumpulan terbabit.

Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah mengumpul minyak dari setiap stesen minyak dan mengumpulkannya di sebuah lokasi rahsia sebelum dijual kepada pihak ketiga.

"Kita percaya minyak diesel berkenaan untuk dipasarkan ke negara jiran dan pihak industri dengan harga lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata pemandu lori warga tempatan berusia 20-an turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Katanya bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Mei tahun ini, sebanyak 45 kes seumpamanya berlaku di negeri ini melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1.5 juta. -BERNAMA

Artikel Lain