suria

Kerajaan Cari Jalan Kurangkan, Hapus Tol PLUS

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan berunding dengan pihak berkepentingan baru Plus Expressways Bhd (PLUS) bagi mencari jalan mengurangkan kadar atau menghapuskan tol di beberapa bahagian lebuh raya kendalian syarikat itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Mansor berkata, bagi tujuan itu, kerajaan akan berbincang dengan Kumpulan UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Walaupun penstrukturan (PLUS) baru siap, telah ada permintaan daripada rakyat bagi mengurangkan kadar atau menghapuskan tol di kawasan tertentu, maka ini diambil perhatian penting oleh kerajaan.

"Maka kerajaan kini sedang mengkaji kalau ada ruang boleh dilakukan untuk mengurangkan harga atau tutup dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Kompleks Kerja Raya 2 di sini.

Beliau berkata, selain kepentingan rakyat, langkah itu bergantung kepada pelbagai faktor lain seperti pampasan yang perlu dikeluarkan kerajaan dan kepentingan 'stakeholders' PLUS.

"Pampasan yang kerajaan perlu keluarkan datangnya daripada wang rakyat, maka jika kerajaan keluarkan, ia perlu memberi kebaikan kepada rakyat secara menyeluruh, bukan hanya sebahagian kecil," katanya.

Mengulas Kompleks Kerja Raya 2, Shaziman berkata, bangunan ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) setinggi 37 tingkat itu dijangka siap pada Jun tahun depan.

"Setelah siap, bangunan ini mampu menempatkan kira-kira 1,300 daripada 2,600 pegawai dan kakitangan JKR dari cawangan sekitar ibu kota. Sekarang kita belanjakan kira-kira RM3.97 juta sebulan untuk sewa pejabat cawangan ini.

"Bagi menempatkan kesemua cawangan JKR (di Lembah Klang) di bawah satu bumbung, Kementerian Kerja Raya sedang merancang untuk membina satu lagi kompleks, iaitu Kompleks Kerja Raya 3," katanya.

Beliau berkata, Kompleks Kerja Raya 2 bakal menjadi bangunan tinggi kerajaan pertama yang mencapai tahap platinum di bawah 'Indeks Bangunan Hijau'.

Projek pembinaan kompleks berharga RM309 juta ketika tender itu, dimulakan pada Disember 2009 dan kini 38 peratus siap. - BERNAMA

Artikel Lain