suria

Bersih 3.0: Lagi 24 Serah Diri

NILAI: Setakat pukul 11 pagi Selasa, seramai 24 orang telah menyerah diri atau pun ditangkap (polis), dipercayai terlibat dalam kekecohan semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis telah mula mengesan mereka yang telah dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan itu setelah tempoh seminggu tamat pada Selasa.

"Berikutan tempoh itu tamat hari ini, kita akan buru 96 lagi peserta perhimpunan yang masih berdegil. Kita telah beri mereka pilihan untuk serah diri sebelum kita pergi rumah ke rumah mencari mereka. Kita pun tak mahu menyusahkan keluarga...datang serah diri dan kita akan rakam percakapan dan ambil tindakan biasa.

"Antara mereka itu terdiri daripada semua lapisan masyarakat termasuk profesional, pekerja pejabat, penjawat awam, penuntut dan juga penganggur. Kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sebuah van bergerak oleh Majlis Perbandaran Nilai (MPN) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah program bandar selamat di sini.

Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh dan Yang Dipertua MPN Datuk Abd Halim Abd Latif.

Rabu lepas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman memberi tempoh tujuh hari kepada individu yang gambar mereka disiarkan untuk membantu siasatan perhimpunan Bersih 3.0 sama ada menyerah diri atau akan diburu sehingga ke rumah masing-masing.

Mengulas mengenai gas pemedih mata, beliau berkata tidak ada sesiapa yang menyebut bahawa gas pemedih mata yang digunakan PDRM diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Sebenarnya apa yang kita sebut adalah prosidur kita mengimport gas pemedih mata ini adalah mengikut prosidur yang telah ditetapkan oleh PBB...bukan kita cakap bahawa gas pemedih mata itu telah diluluskan oleh PBB.

"Tear gas yang diimport ke negara ini adalah sama standardnya dengan yang digunakan oleh polis negara lain dan telah disahkan oleh pakar bahawa ia selamat untuk digunakan bagi tujuan menyuraikan apa juga perhimpunan," katanya.

Sebelum ini katanya ada persoalan berkenaan penggunaan gas pemedih mata di mana ada laporan yang menyatakan bahawa wakil PBB di Kuala Lumpur mengeluarkan kenyataan bahawa PBB tidak pernah meluluskan apa-apa juga jenis gas pemedih mata yang digunakan pihak polis. BERNAMA

Artikel Lain