suria

Bas Persiaran Terbakar, 10 Pelancong China Selamat

TUARAN: Sebuah bas mini persiaran yang membawa 10 pelancong dari China terbakar ketika dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Ranau pagi Selasa.

Bagaimanapun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Daerah Tuaran Kairul Amir Pajar Ali berkata kesemua penumpang yang berusia antara 40 dan 50 tahun tersebut selamat dalam kejadian 9.15 pagi di Jalan Kampung Minangkop dekat sini itu.

"Dalam kejadian itu, pemandu Nelson Vun Chee Vui, 38, mendapati kenderaannya menghadapi masalah ketika menaiki bukit lalu memberhentikan kenderaan di bahu jalan. "Pemandu itu kemudiannya menurunkan semua penumpang dari bas itu dan tidak lama kemudian kenderaan itu terbakar," katanya ketika dihubungi.

Katanya sebuah jentera dan van dari balai bomba dan penyelamat daerah Tuaran beserta 15 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kecemasan pada 9.17 pagi.

Semua pelancong berkenaan meneruskan perjalanan ke Ranau menaiki bas persiaran yang dihantar agensi pelancongan terbabit, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain