suria

Sindiket Proses Eramin 5 Tumpas, Dadah RM43 Juta Dirampas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket memproses dadah jenis Eramin 5 yang bernilai RM43 juta dengan tertangkapnya 25 anggota sindiket termasuk warga Taiwan dan Nepal dalam 15 serbuan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Klang pada Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis turut merampas 282.62 kilogram (kg) serbuk dadah yang dipercayai digunakan untuk membuat Eramin 5 serta 88,000 biji Eramin 5 ditemui di makmal pemprosesan di Klang.

Katanya, turut dirampas adalah 12 buah kereta termasuk jenis Mercedez Benz dan BMW dan wang tunai RM82,305.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, 10 orang ditahan di Pulau Pinang, enam orang di Klang dan selebihnya ditahan di sekitar Kuala Lumpur menjadikan 25 anggota sindiket itu ditangkap termasuk, tiga lelaki warga Nepal, tiga lelaki warga Taiwan dan dua wanita tempatan, yang kesemuanya berumur antara 24 dan 60 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 22 Mei ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Siasatan awal polis mendapati sindiket itu memasarkan dadah untuk negara ini dan juga negara Asean kerana sindiket itu mempunyai dua makmal memproses dadah di Pulau Pinang dan Klang.

Noor Rashid berkata, siasatan polis juga mendapati enam anggota sindiket yang ditahan itu mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah serta ada yang pernah terlibat dalam pengedaran dadah secara kecil-kecilan.

Katanya, dalam serbuan di makmal pemprosesan di kawasan perindustrian ringan di Klang, Selangor, pihaknya mendapati makmal itu berselindung di sebalik rumah kedai menjual bingkai tingkap aluminium.

"Operasi ini merupakan kerjasama erat dengan pihak Drug Enforcement Division (DED), Ministry Of Justice Investigation Bureau (MJIB) Republic China Taiwan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain