suria

Rumah Lima Sekeluarga Hangus Dijilat Api

KUALA TERENGGANU: Lima sekeluarga hilang tempat berteduh apabila kediaman mereka di Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal di sini, hangus dijilat api pada Isnin.

Semasa kejadian pukul 3.15 petang itu, mangsa Wan Mohamed Wan Sulaiman, 45, sedang membersihkan halaman belakang rumahnya manakala anak sulungnya, Nor Affendi, 22, menonton televisyen di ruang tamu.

Wan Mohamed berkata, tiba-tiba dia dikejutkan dengan kepulan asap daripada rumahnya dan melihat anak lelakinya berlari keluar meminta pertolongan.

"Dua lagi anak saya tiada di rumah manakala isteri pula berada di Johor. Saya bersyukur tiada ahli keluarga yang cedera dalam kebakaran," katanya.

Seorang saksi, Tuan Syarifah Norashikin Tuan Mazlan, 30, berkata dia terhidu bau asap dan nampak api mula marak ketika berada tidak jauh dari rumah itu.

"Saya terus meminta pertolongan orang ramai memadamkan api sementara menunggu tibanya pasukan bomba dan penyelamat," katanya.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Zakariya Mohamed memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada 3.29 petang dan terus mengejarkan 22 anggota bersama dua unit jentera bomba ke tempat kejadian.

Pihak bomba mengambil masa kira-kira 20 minit memadam kebakaran dan sedang menyiasat punca kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain