suria

Malaysia Sokong Penghantaran Pulang Pelarian Secara Sukarela

KUALA LUMPUR: Malaysia merasakan bahawa penghantaran pulang secara sukarela dan pengintegrasian semula mereka yang dihantar pulang itu adalah antara penyelesaian yang praktikal bagi menangani masalah pelarian yang dihadapi negara-negara Islam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dalam menangani isu itu.

"Strategi dan kaedah pelaksanaan bagi mewujudkan suasana yang selamat dan kondusif untuk pelarian yang pulang adalah langkah yang perlu diberi keutamaan untuk segera dibincangkan oleh negara-negara OIC," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada Persidangan Antrabangsa OIC mengenai Pelarian di Negara Islam di Ashgabat, Turkmenistan. Kenyataan itu diedar kepada media oleh Kementerian Luar di sini.

Menyedari bahawa dunia Islam kini berhadapan dengan masalah menjadi tuan rumah kepada lebih 50 peratus daripada pelarian dunia, Anifah berkata bahawa setiap situasi pelarian mempunyai masalah tersendiri dan ia tidak boleh diselesaikan dengan satu cara.

"Pada masa sama, kita perlu mengenal pasti dimensi kemanusiaan dan sosial yang dibawa oleh masalah itu dan keperluan segera untuk kita menangani punca utamanya," kata Anifah.

Anifah menyedari bahawa jumlah pelarian di negara Islam akan terus meningkat dan keadaan itu tidak boleh dibiar berterusan.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa mempunyai peranan penting untuk dimainkan, terutama dalam membantu negara-negara terlibat untuk memudahkan penghantaran pulang secara sukarela dan pengintergrasian semula mereka yang telah pulang.

Anifah berkata, peranan masyarakat dunia adalah untuk menyediakan dana yang bersesuaian dan bantuan logistik untuk tindakan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain