suria

Kes Culik Nayati: Polis Kenal Pasti Dalang Dengan Bantuan Interpol

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) mengenal pasti seorang suspek, yang melarikan diri ke Eropah, dan dipercayai sebagai dalang dalam kes penculikan kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, polis kini sedang mengesan suspek terbabit dengan bantuan Interpol manakala beberapa suspek lain yang ditahan akan didakwa ke mahkamah.

"Kita anggap kes ini sudah selesai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen derma darah peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, Isnin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan seorang lelaki berumur 24, yang merupakan antara suspek dalam kes penculikan itu, ditahan polis pada Khamis lepas dengan bantuan orang ramai.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 1.15 petang di Pekan Banting, Selangor menjadikan tujuh suspek yang terlibat dalam kes penculikan itu ditahan setakat ini.

Nayati, 12, diculik pada 27 April lepas ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara berhampiran rumahnya di sini dan kanak-kanak lelaki itu ditemui selamat di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 7.55 pagi, 3 Mei lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain