suria

Cadangan Wujudkan LCCT Di Perak Bukan Untuk Saingi Negeri Lain - Zambry

IPOH: Perak menggesa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri khususnya Pulau Pinang melihat cadangan untuk mewujudkan Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) di Perak merupakan pembangunan yang saling melengkapi bukan untuk bersaing dengan negeri-negeri lain.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata terminal yang akan dikenali dengan nama Utara Malaysia Airport Terminal (UMAT) itu merupakan sebahagian daripada perancangan masa depan Perak bagi membangunkan kawasan utara untuk bersaing dengan kawasan lain di negara ini.

"Kerajaan persekutuan sedang membuat penilaian secara terperinci kerana kita sedia maklum ia akan mengundang perspektif yang berbeza oleh kerajaan-kerajaan negeri lain, khususnya Pulau Pinang dan Kedah, kerana negeri itu juga terdapat Lapangan Terbang."

"Pada peringkat awal dalam bidang ekonomi selama ini, kita terangkum dalam pemikiran persaingan, apa yang telah saya cuba mencari pendekatan baru ialah kerjasama.

"Sekiranya kita mempunyai kawasan lapangan terbang baru kita juga akan beri manfaat kepada negeri-negeri lain (Kedah dan Pulau Pinang) kerana (negeri itu) dekat dengan Perak," katanya pada wawancara dalam Program Selamat Pagi Dr Zambry di Perak FM di sini Isnin.

Zambry turut menjelaskan bahawa konsep cadangan terminal itu berbeza dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kerana ia diwujudkan bukan semata-mata untuk pembangunan di negeri itu, malah fokus kepada pertumbuhan ekonomi pada peringkat rantau.

"Idea yang dikemukakan Air Asia sewaktu kita berbincang dengan mereka menyatakan bahawa ekonomi tidak boleh berkembang dalam dunia yang sama. Orang (pelabur) akan lihat peluang baik, dengan wujudnya terminal murah untuk rantau, ia akan menjadi satu aliran transit dengan Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata projek itu juga mampu menjana pendapatan negara apabila ia mampu menghasilkan pelaburan sehingga mencapai berbilion ringgit.

"Kawasan itu bukan sahaja ada lapangan terbang malah kawasan tersebut menjadi satu bandar baharu termasuk industri-industri yang berkaitan dan menjadi kawasan tarikan pelancong.

"Sekiranya projek itu menjadi realiti, kita jangkakan aliran manusia di kawasan berkenaan akan mencecah lima juta setahun," katanya.

Mengenai perbincangan dengan kerajaan persekutuan, beliau berkata ia masih dijalankan namun terdapat sedikit kebimbangan pada peringkat kerajaan persekutuan mengenai model yang dikemukakan.

"Kerajaan Persekutuan bimbang model yang kita kemukakan memberi kesan kepada Lapangan Terbang di Pulau Pinang, namun kita akan teruskan perbincangan bagi memastikan projek ini dapat direalisasikan," katannya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan bersama Sime Darby kerana untuk mendirikan terminal itu, yang melibatkan tanah yang luas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain