suria

Sultan Johor Kesal Ada Pihak Tentang Projek RAPID Di Pengerang

KOTA TINGGI: Sultan Johor Sultan Ibrahim pada Ahad melahirkan rasa kesal baginda terhadap segelintir masyarakat yang dikatakan cuba menentang Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.

Baginda juga kesal kerana ada kumpulan yang cuba mengambil kesempatan menghasut penduduk di kawasan itu supaya membuat bantahan dan membuat permintaan yang bukan-bukan terhadap projek itu.

"Saya ada terdengar suara-suara sumbang yang seakan-akan menolak pembangunan yang hendak dibuat oleh kerajaan dan tidak mahu berubah.

"Jika saudara-saudari tidak berubah, maka rakyat di sini akan terus tersisih dan terpinggir daripada arus pembangunan," titah baginda semasa melancarkan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas di Pengerang, Ahad.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Sultan Ibrahim bertitah pemilihan Pengerang sebagai hab industri minyak dan gas merupakan satu rahmat kepada Johor kerana pelaburan yang besar akan dicurahkan ke negeri itu.

Pembangunan RAPID akan membuka banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang akan membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat, titah baginda.

Baginda bertitah jasa dan pengorbanan penduduk di situ dalam memastikan kejayaan projek itu merupakan peninggalan yang amat bermakna untuk generasi akan datang berbanding tanah kebun dan rumah kampung yang kemungkinannya tidak akan didiami pada masa depan.

"Untuk memastikan pojek pembangunan yang dirancang ini berjaya, masyarakat di Pengerang haruslah memberikan kerjasama dan perlu berkorban terutama untuk melepaskan kampung halaman dan harta benda yang dimiliki sekarang.

"Saya sudah dimaklumkan bahawa harta benda yang terlibat di dalam kawasan pembangunan ini akan dibayar pampasan yang sewajarnya dan setimpal dengan nilai harta yang diambil kerajaan," titah baginda.

Baginda menasihatkan penduduk terlibat agar tidak mengambil kesempatan dengan meminta pampasan yang tidak munasabah dan bersesuaian dengan nilai harta mereka.

Sultan Ibrahim turut meminta kerajaan dan pihak lain yang berkaitan supaya bersikap adil dan terbuka dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan itu.

"Saya akan selalu datang ke Pengerang untuk melihat dengan lebih dekat kerja-kerja pembangunan Rapid bagi memastikannya berjalan sebagai mana yang dirancang," titah baginda.

RAPID yang melibatkan pelaburan RM60 bilion mempunyai kapasiti untuk menapis 300,000 tong minyak mentah import sehari dan akan menawarkan 4,000 peluang pekerjaan tetap.

Projek yang bakal dilaksanakan menjelang pertengahan 2013, iaitu selepas Petronas membuat keputusan terakhir pelaburan itu juga akan memerlukan lebih kurang 40,000 pekerja kontrak untuk pembinaan. - BERNAMA

Artikel Lain