suria

Peniaga Ikan Hiasan Nyaris Maut Ditembak

BUTTERWORTH: Seorang peniaga ikan hiasan cedera parah selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki di perkarangan sebuah tokong di Taman Teratai, di sini awal Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Superitendan Zulkifli Alias berkata, Eng Ee Sook, 47, cedera di bahu dalam cubaan membunuhnya pada kejadian pukul 12.15 pagi.

Katanya, Eng dibawa ke Hospital Seberang Jaya oleh rakannya yang kebetulan melalui kawasan itu dan keadaannya dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan untuk membuang peluru.

Beliau berkata, semasa kejadian, mangsa yang tinggal di Taman Teratai sedang berehat di perkarangan tokong berkenaan sebelum didatang seorang lelaki dari arah belakangnya.

"Lelaki yang memakai topi keledar itu melepaskan tiga das tembakan, bagaimanapun hanya satu terkena bahu mangsa manakala dua lagi tersasar," katanya ketika dihubungi di sini Ahad.

Zulkifli berkata, sebaik melepaskan tembakan, lelaki itu melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletakkan berhampiran tokong.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada dendam.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis," katanya.

Beliau berkata, polis juga telah mendapat gambaran awal berkaitan suspek dan melancarkan gerakan memburunya.

Kes itu disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain