suria

Pekerja Pengurup Wang Cedera Ditembak Dua Penyamun

PETALING JAYA: Seorang pekerja pengurup wang nyaris maut selepas ditembak penyamun yang cuba menyamun premis itu yang terletak di SS2 Sea Park di sini pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata ketika kejadian kira-kira 10 pagi itu, pemilik premis pengurup wang itu sedang membuka pintu premisnya sebelum dua lelaki bermotosikal bertopi keledar penuh cuba memasuki premis berkenaan.

"Cubaan kedua-dua lelaki itu berjaya dihalang pemilik premis berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

"Ketika itu dua pekerja premis itu tiba dan membantu pemilik premis berkenaan sebelum salah seorang daripada lelaki tersebut melepaskan dua das tembakan ke arah pekerja terbabit yang terkena pinggangnya," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Ekoran insiden itu, katanya kedua-dua lelaki terbabit terus melarikan diri dan meninggalkan motosikal mereka di hadapan premis tersebut.

Mangsa yang berumur lingkungan 20-an kemudian di hantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untk rawatan lanjut.

Arjunaidi berkata polis masih mengenal pasti kedua-dua identiti lelaki terbabit berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang di pasang di hadapan premis terbabit.

Kes disiasat mengikut seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyamun. - BERNAMA

Artikel Lain