suria

Kebajikan Pekerja Tidak Akan Diabaikan - PM

SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penghormatan kepada pekerja semua sektor di negara ini dan menyifatkan mereka sebagai tulang belakang negara yang kebajikannya tidak akan diabaikan.

"Realitinya adalah tanpa dedikasi pekerja dan kesetiaan mereka kepada negara, kita mungkin tidak mencapai kemajuan dan pembangunan yang dinikmati sekarang," katanya pada perhimpunan Hari Pekerja 2012 di sini, Sabtu.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri S. Subramaniam dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Najib turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia di atas segala kerjasama yang diberikan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk melindungi kebajikan pekerja dan baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji antara 7 hingga 13% kepada kakitangan awam.

"Dengan memastikan kebajikan pekerja adalah situasi menang-menang kerana majikan dan pekerja akan memperolehi manfaat daripadanya," katanya.

Menjadikan Sime Darby Plantation sebagai contoh, Najib berkata, syarikat tersebut mencapai produktiviti tertinggi selepas menaikkan gaji pekerjanya sebanyak RM200.

Perdana Menteri turut menggesa syarikat swasta untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti bernilai tinggi untuk meningkatkan daya saing dan membantu kenaikan gaji pekerja.

Beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum yang ditunggu-tunggu selama 20 tahun lalu amat penting kerana ia berjaya memecahkan halangan psikologi.

Katanya, adalah amat penting untuk pekerja, majikan dan kerajaan menjalin hubungan baik dan kekal bersatu dalam merealisasikan program transformasi di negara ini.

Artikel Lain