suria

Remaja Diminta Jalani Ujian Saringan Talasemia - Liow

KUALA LUMPUR: Para remaja diminta menjalani ujian saringan bagi mengesan Talasemia, penyakit genetik yang boleh menyebabkan sel darah merah musnah hingga menjejaskan organ penting tubuh.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ujian itu yang hanya perlu dilakukan sekali seumur hidup, membolehkan kerajaan mengesan pembawa dan pesakit itu untuk diberikan rawatan awal.

"Remaja adalah golongan yang paling sesuai untuk menjalani ujian itu kerana intervensi kaunseling yang dijalankan pada usia berkenaan adalah lebih berkesan. "Anggota keluarga pesakit Talasemia terdiri daripada ibu bapa, adik beradik serta saudara mara juga digalakkan menjalani ujian saringan Talasemia," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pesakit Talasaemia sempena Hari Talasemia Sedunia di sini, Sabtu.

Beliau berkata keseriusan penyakit itu menyebabkan Kabinet memutuskan untuk memperuntukkan RM80.9 juta setiap tahun mulai tahun ini untuk menampung pembelian ubat 'iron chelation agent', Deferasirox, bagi pesakit Talasemia selain memberi RM11.713 juta secara sekaligus untuk aktiviti Program Kawalan dan Pencegahan Talasemia di negara ini.

Kos ubat Deferasirox, yang diambil sebiji kapsul sehari, adalah tiga kali ganda lebih mahal berbanding Desferral, ubat secara suntikan.

"Peruntukan besar ini menunjukkan tahap perubatan dalam negara kita semakin meningkat. Tidak banyak negara yang mampu membeli ubat semahal ini untuk keperluan pesakit Talasemia dalam negara kita," katanya.

Liow berkata pembelian Deferasirox bertujuan mengurangkan kesakitan di kalangan pesakit kanak-kanak, yang tidak lagi perlu menggunakan Desferral. "Namun, kementerian menetapkan kriteria penggunaan Deferasirox hanya untuk pesakit berumur 8 tahun ke bawah, pesakit yang mengalami kesan sampingan serius selepas penggunaan ubat 'reon-chelating agents' yang lain, dan tidak mendapat rawatan optima 'iron chelation' menggunakan cara rawatan yang lain.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan menganggarkan antara 780,000 hingga 1.3 juta penduduk Malaysia adalah pembawa penyakit genetik itu dengan 120 hingga 350 bayi Talasemia major dilahirkan setiap tahun.

Bagaimanapun, katanya Daftar Talasemia Kebangsaan yang dilancarkan pada 2007 hanya merekodkan 4,823 pesakit sehingga 31 Dis 2010.

"Antara impak positif yang telah dicapai sehingga 2010 iaitu seramai 4,823 kanak-kanak Talasemia telah berjaya mendapat rawatan sempurna," katanya.

Anugerah itu, yang julung kalinya diadakan, bertujuan memberi pengiktirafan kepada 33 pesakit Talasemia berusia dari 12 hingga 18 tahun yang cemerlang di peringkat sekolah, kolej, dan universiti di seluruh negara.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengerusi Persekutuan Pertubuhan Talasemia Malaysia Ramli Mohd Yunus. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain