suria

Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya Ditarikbalik Kerana Rumit - Nazri Aziz

KUALA KANGSAR: Penarikan balik Rang Undang-undang (Pindaan) Akta Kesalahan Pilihan Raya yang dipersetujui secara bersama antara Suruhanjaya Pilihan Raya, kerajaan dan pihak pembangkang dibuat apabila kesemua pihak mendapati proses pindaan itu merumitkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata proses pindaan itu merumitkan, tambahan pula apabila Dewan Negara turut meminta dua lagi pindaan baru, yang perlu dikemukakan semula kepada Dewan Rakyat untuk dibentang serta dibahaskan bagi tempoh tiga bulan, jika tidak ia akan luput.

"Apabila kita bawa ke Dewan Rakyat ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Pihak kerajaan, SPR dan pembangkang membuat tiga pindaan di peringkat jawatankuasa.

"Apabila dibawa ke Dewan Negara untuk dibentang dan dibahaskan pihak senator tidak setuju dan meminta dua lagi pindaan," katanya kepada pemberita selepas selepas berucap pada program Profesional Guru-guru Daerah Kuala Kangsar Zon Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak di Padang Rengas di sini, Sabtu.

Katanya perbincangan mendapati proses lima pindaan itu dilihat merumitkan dan jemaah Kabinet memutuskan rang undang-undang itu tidak diteruskan dan ditarik balik.

"Bila keputusan kerajaan begitu, saya memanggil (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)selaku ketua pembangkang untuk berjumpa dan bersama dengan SPR. Anwar kebetulan ke Bahrain dan sedia hantar Lim Kit Siang (untuk berbincang).

"Saya kata ada lima pindaan, kalau boleh anda setuju (untuk) kita tarik balik, sebab ia terlalu 'messy' (kelam kabut), nak kena bawa balik, kena bahas balik. Tapi walaupun kerajaan dan pembangkang bersetuju, SPR badan bebas, kita perlu dapatkan persetujuan SPR dan kita maklumkan kedua-dua persetujuan," katanya.

Mohamed Nazri berkata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof turut memaklumkan jika lima pindaan perlu dilakukan, rang undang-undang berkenaan sudah tidak bermakna dan SPR kemudiannya turut bersetuju ia ditarik balik.

"Apapun keputusan yang telah dicapai telah dibuat secara bersama, kita tidak boleh kata apabila Kabinet buat keputusan (ia muktamad). Kita mesti bincang dengan pembangkang dulu dan dengan persetujuan SPR baru boleh (tarik balik). SPR badan bebas, kalau dia kata teruskan, kita tiada pilihan, kita perlu teruskan," katanya.

Rang Undang-undang itu dibentangkan pada 9 April lepas di mana pindaan berkenaan bertujuan menambah baik proses pengundian termasuk menjauhkan lagi tempat bagi orang ramai menunggu atau berada dekat pusat mengundi pada hari mengundi dari 50 meter kepada 100 meter kecuali bagi mereka yang masuk untuk mengundi.

Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang tersebut pada 19 April setelah dibahaskan oleh Anggota Parlimen selama tujuh jam. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain