suria

Pemeriksaan Imigresen Di Kaunter Daftar Masuk, Pertama Seumpamanya Di Dunia

PUTRAJAYA: Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kerjasama Malaysia Airlines (MAS) akan memperkenalkan perkhidmatan pemeriksaan imigresen di kaunter daftar masuk untuk penumpang kelas pertama dan ahli Enrich Platinum.

Inisiatif itu merupakan salah satu usaha Imigresen KLIA untuk mengukuhkan kedudukannya dalam senarai lima teratas perkhidmatan imigresen lapangan terbang terbaik dunia, yang diiktiraf oleh Skytrax 2012 World Airport Awards, baru-baru ini.

Perkhidmatan pemeriksaan imigresen di kaunter daftar masuk merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Ketua Imigresen KLIA, Mohd Zulfikar Ahmad berkata, Februari lalu, MAS telah mengusulkan tentang langkah-langkah untuk membantu menambahbaik perkhidmatan untuk para penumpang.

“Hasilnya, perkhidmatan pemeriksaan imigresen di kaunter daftar masuk akan diperkenalkan buat pertama kalinya dalam penerbangan MAS yang menggunakan pesawat baru A380 pada Julai ini,” katanya kepada mStar Online di sini.

Airbus A380 adalah pesawat penumpang terbesar di dunia itu mempunyai 494 tempat duduk dan MAS merupakan syarikat penerbangan kelapan di dunia yang menggunakan pesawat itu.

MAS akan menggunakan pesawat baru A380 bagi perkhidmatan komersial dalam penerbangan sektor Kuala Lumpur-London mulai 1 Julai.

Mohd Zulfikar berkata, perkhidmatan pemeriksaan imigresen itu turut melibatkan satu kaunter khas yang disediakan khusus untuk penumpang berkenaan di balai pelepasan dan ketibaan di KLIA.

“Penumpang (kelas pertama dan ahli Enrich Platinum) akan diiring oleh kakitangan MAS dari kaunter daftar masuk sehingga ke bahagian imigresen menerusi satu laluan khas untuk pelepasan, dan mereka akan dilayan seperti VVIP,” katanya.

Menurut Mohd Zulfikar, perkhidmatan tersebut turut dilaksanakan untuk ketibaan penumpang MAS kelas pertama dan ahli Enrich Platinum, yang akan diiringi sehingga ke kaunter khas untuk menjalankan pemeriksaan imigresen.

Sebanyak 46 kaunter imigresen di balai pelepasan dan 48 lagi untuk ketibaan di KLIA, di mana setiap satu daripadanya dijadikan sebagai kaunter khas untuk kemudahan itu.

Mohd Zulfikar berkata, pada masa ini, Imigresen KLIA sudah pun mempunyai laluan premier untuk penumpang kelas pertama dan kelas perniagaan namun katanya, kadang-kala berlaku kesesakan pada waktu puncak apabila beberapa penerbangan tiba pada waktu yang sama di KLIA.

“Secara purata, setiap penumpang di laluan premier perlu menunggu untuk pemeriksaan imigresen kira-kira 10 minit pada waktu puncak. Dengan laluan khas yang baru ini, masa menunggu secara purata adalah dua minit, sekali gus melancarkan pergerakan penumpang,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama antara Imigresen KLIA dan MAS bukan sahaja untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan penumpang syarikat penerbangan itu bahkan meningkatkan kecekapan pemeriksaan imigresen di lapangan terbang terutama pada waktu puncak.

“Imigresen KLIA bukan sahaja berfungsi untuk mengawal keselamatan dan melancarkan operasi di pintu masuk utama negara bahkan turut merupakan sebahagian daripada lapangan terbang ini dalam memberi keselesaan kepada penumpang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai bila perkhidmatan itu akan diperkenalkan pula kepada penumpang MAS kelas perniagaan, Mohd Zulfikar berkata: “Ia bergantung kepada keputusan MAS selaku syarikat penerbangan namun bagi pihak kami sudah bersedia untuk melaksanakannya dalam operasi pemeriksaan imigresen dengan lebih efektif.”

Sebelum ini, Imigresen KLIA mendapat pengiktirafan oleh Skytrax sebagai Perkhidmatan Imigresen Lapangan Terbang Terbaik Dunia selama dua tahun berturut-turut sejak 2010.

Keputusan Skytrax 2012 World Airport Awards berdasarkan kaji selidik terhadap 12 juta penumpang dalam tempoh 10 bulan, merangkumi 388 lapangan terbang di seluruh dunia.

Artikel Berikut

Artikel Lain