suria

MB Kedah Diminta Berterus Terang Masalah Kuin

SUNGAI PETANI: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak diminta supaya berterus terang mengenai masalah kewangan dan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (Kuin).

Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Daerah Kuala Muda, Makbul Ilahi Hashim ketika meminta demikian berkata, ini kerana penjelasan Azizan baru-baru ini disifatkan tidak menyeluruh sebaliknya sekadar membuat kenyataan seolah-olah mahu menyalahkan pihak lain.

"Menteri Besar tidak memberikan penjelasan sempurna tentang krisis yang dihadapi. Pada masa sama, beliau cuba mengalihkan isu dengan menuduh pihak lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi yang menegur Kuin dan meminta yuran pengajian dinaikkan," kata Makbul Ilahi.

Beliau mendakwa berdasarkan maklumat yang diterima, Kuin gagal diuruskan dengan baik oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama tiga lagi badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Daerah Kuala Muda, Pertubuhan Sejahtera Harmoni Sungai Petani dan Persatuan Belia India Negeri Kedah di sini, Sabtu.

Selain itu, kata Makbul Ilahi, kerajaan negeri juga perlu memberikan penjelasan berhubung penubuhan Sekolah Insan Bestari di bawah Kuin yang menelan belanja RM1 juta.

Sekolah itu beroperasi sejak Januari lalu meskipun tidak mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkasa Daerah Kuala Muda, Mejar (B) Anuar Abd. Hamid berkata, Azizan tidak wajar berdolak-dalik tentang isu berkenaan kerana ia melibatkan kepentingan awam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain