Kumpulan Samun Geng Puru Tumpas - Semasa | mStar

Kumpulan Samun Geng Puru Tumpas

KLANG: Polis percaya telah berjaya menyelesaikan lima kes samun dan pecah rumah di sekitar Klang dengan tertangkapnya tiga lelaki anggota Geng Puru pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop memberitahu sidang media hari ini, ketiga-tiga lelaki berusia antara 24 dan 29 tahun itu ditahan di Jalan Tepi Sungai Klang pada pukul 9.20 malam.

Tangkapan itu dibuat oleh sepasukan polis dari Team D9 dan Pecah Rumah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dalam operasi Samun, Rentap/Kesan susulan aduan orang awam bahawa suspek memecah masuk dan cuba menyamun sebuah rumah di Taman Gembira, Solok Nilam Teluk Gadung di sini.

Suspek itu dilaporkan menaiki sebuah kereta Perodua Kenari dengan nombor pendaftaran WLY 1817 dan pasukan polis kemudian mengesan kereta berkenaan dan mengekorinya sehingga Jalan Tepi Sungai, di sini sebelum memberkas mereka, katanya.

Beliau berkata semakan chasis ke atas Perodua Kenari itu mendapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan merupakan kenderaan yang disamun dalam satu kejadian di Klang sebelum ini. Polis, katanya menemui tiga parang, sebilah pisau, sebatang cangkul, dua topeng ski, dua pasang sarung tangan, pelbagai peralatan pecah rumah, empat telefon bimbit, sebuah televisyen 42 inci Samsung, sebuah tabung wang syiling, dua periuk aluminium untuk upacara sembahyang, tiga topi keledar, dua pelbagai kunci kereta, dua kuku kambing, dan satu pemotong dawai di dalam kereta itu.

Hasil soal siasatan lanjut, polis menemui sebuah kereta Perodua Kancil berwarna biru dengan nombor pendaftaran palsu WNS 4745 di Taman Bertek di sini, kata Mohamad. Beliau berkata kereta itu yang nombor pendaftaran asalnya ialah BGS 459, dilaporkan hilang sebelum ini di Klang.

Polis juga menemui tiga lagi telefon dan dua kunci kereta Perodua di bilik 207 Hotel Taipan yang dipercayai digunakan oleh salah seorang suspek dikenali sebagai Puru, yang merupakan ketua kumpulan ini.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek mempunyai kes jenayah lampau daripada kes curi kenderaan, samun, bunuh dan mencederakan orang dan mereka pernah ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor. "Mereka ini juga didapati positif dadah (ujian air kencing)," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek ditahan reman selama lima hari mulai semalam dan ke disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mereka ini dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah di sekitar Klang dalam sebulan ini dan menggunakan topeng ski atau topi keledar semasa menyamun untuk mengelak muka mereka dicam mangsa serta menggunakan sarung tangan untuk mengelak cap jari mereka dikesan, katanya. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain