suria

Umat Islam Perlu Komited Terhadap Asnaf Terpinggir - Raja Muda Perlis

KANGAR: Nasib golongan asnaf yang terpinggir di Perlis akan lebih terbela jika umat Islam komited terhadap tanggungjawab masing-masing untuk membela golongan itu, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Jumaat. Sehubungan itu, baginda menggesa umat Islam supaya sentiasa memberi kerjasama melaporkan kes asnaf yang terpinggir kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui para amil untuk dibantu.

Bertitah pada majlis Hijrah Minda dan penyerahan wang sara hidup di Masjid Al-Ghofus, Padang Lati dekat sini hari ini, baginda bertitah pada masa ini, MAIPs mengeluarkan bantuan membina rumah pada kadar maksimum RM28,000 sebuah, bantuan membaiki rumah sehingga RM15,000, bantuan sara hidup RM300 serta bantuan bantuan bencana.

Baginda bertitah bantuan maksimum yang dikeluarkan bagi kerosakan harta benda akibat bencana ialah tidak lebih RM1,000, bantuan perlindungan sementara RM450 dan bantuan keperluan asas tidak lebih RM500.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua MAIPs, bertitah sejak Januari hingga April lepas, sebanyak RM504,000 dikeluarkan untuk membantu 18 asnaf mendirikan rumah baru manakala RM698,985 dikeluarkan sebagai bantuan membaiki 77 buah rumah.

Bagi tempoh yang sama juga, MAIPs mengeluarkan bantuan sara hidup sebanyak RM364,820 kepada 625 penerima dan bantuan pelajaran sebanyak RM482,700 kepada 498 pelajar.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Abdul Malik Hussin dan Pengerusi Baitulmal Perlis Datuk Abu Bakar Ahmad. -BERNAMA

Artikel Lain