suria

Tribunal Perang Dapati Bush, Tujuh Yang Lain Bersalah Lakukan Jenayah Perang

KUALA LUMPUR: Tribunal enayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) pada Jumaat mendapati bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dan tujuh sekutu beliau bersalah bagi tuduhan 'melakukan jenayah penderaan dan jenayah perang'.

Ketujuh-tujuh mereka ialah Dick Cheney, bekas naib presiden Amerika Syarikat; Donald Rumsfeld, bekas Setiausaha Pertahanan; Alberto Gonzales, yang pernah menjadi penasihat kepada Presiden Bush; David Addington, dahulunya ketua penasihat kepada naib presiden; William Haynes, bekas ketua penasihat kepada Setiausaha Pertahanan; Jay Bybee, bekas Penolong Peguam Negara; dan John Yoo, bekas timbalan penolong Peguam Negara.

Dengan sebulat suara, bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Lamin Mohd Yunus, yang mengetuai kuorum tribunal memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Dengan ini kami mendapati tertuduh bersalah di atas pertuduhan," kata Hakim Lamin.

Empat hakim lain dalam panel terdiri Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Prof Salleh Buang dan Mohd Saari Yusuf. Panel membuat keputusan setelah mendengar keterangan daripada lima saksi pendakwaan dan hujah pihak pendakwaan dan pihak pembelaan.

Perbicaraan berlangsung empat hari bermula 7 Mei, dengan mendengar keterangan daripada tiga saksi manakala dua saksi memberi keterangan secara akuan bersumpah.

Prof Gurdial Singh Nijar mengetuai pasukan pendakwaan manakala Jason Kay Kit Leon yang dilantik selaku 'amicus curae' (rakan mahkamah) bagi mewakili pihak tertuduh.

Kelapan-lapan tertuduh didakwa melakukan jenayah penderaan dan bahawa mereka dengan sengaja mengambil bahagian dalam merangka dan mengeluarkan perintah dan arahan eksekutif dengan membelakangkan konvensyen dan undang-undang antarabangsa iaitu Konvensyen Terhadap Penderaan 1984, Konvensyen Geneva 1949, Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia dan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, berhubung perang yang dilancarkan Amerika Syarikat dan yang lainnya ke atas Afghanistan pada 2001 dan Iraq pada Mac 2003.

Selain daripada itu dan/atau berdasarkan serta lanjutan daripada situ, tertuduh memberi kuasa, membiarkan perlakuan penyeksaan dan kejam, layanan buruk dan tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa dengan mencabuli undang-undang dan perjanjian antarabangsa dan konvensyen berkenaan.

Ketika membaca keputusan 19 muka surat itu, Lamin berkata selepas menimbang keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan dan penghujahan oleh kedua-dua pihak, tribunal itu berpuas hati bahawa kelapan-lapan tertuduh itu bersalah dan disabitkan sebagai penjenayah kerana melakukan penyeksaan dan kejam, layanan buruk dan tidak berperi kemanusiaan terhadap mangsa jenayah perang itu.

Beliau berkata Bush bersalah melakukan jenayah perang memandangkan beliau telah mengeluarkan perintah seperti dalam memorandum bertarikh 7 Februari, 2002, yang mengisytiharkan banduan al-Qaeda adalah di luar perlindungan Konvensyen Geneva, dengan hasrat agar perintah ini mendapat tindakan segera dan mengetahui bahawa AS mencabuli Konvensyen Penyeksaan dan Konvensyen Geneva serta gagal campur tangan untuk menghalang pencabulan itu.

"Pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh Richard B. Cheney, bekas naib presiden AS, mengetahui apa yang sedang berlaku dan secara khusus, bahawa perintah yang dikeluarkan oleh Bush dan Rumsfeld telah dikeluarkan dan diambil tindakan," kata hakim itu yang mengambil masa satu setengah jam untuk membacakan keputusannya.

Lamin berkata lapan tertuduh itu terlibat dalam rangkaian arahan, memo, nasihat perundangan dan tindakan yang mewujudkan pelan dan tujuan bersama untuk melakukan Jenayah Penyeksaan dan Perang, termasuk dan tidak terhad kepada pelan bersama dan tujuan untuk melakukan jenayah berkaitan dengan 'Perang ke atas Keganasan' dan peperangan yang dilancarkan oleh AS dan lain-lain di Afghanistan dan Iraq.

Tribunal turut mendapati tertuduh secara individu dan bersama bertanggungjawab terhadap semua jenayah yang dilakukan untuk meneruskan rancangan dan tujuan bersama mereka di bawah prinsip yang diwujudkan oleh Artikel 6 Piagam Tribunal Tentera Antarabangsa.

Lamin berkata tribunal itu mendapati tertuduh telah melakukan jenayah terhadap Pengadu Mangsa Jenayah Perang yang hadir di hadapan tribunal itu.

Tribunal itu telah mendengar keterangan daripada seorang warga Iraqi, Abbas Abid, 48, yang mendakwa dia diseksa ketika ditahan di penjara Al-Jadiria, bekas tahanan Guantanamo Bay Moazzam Begg, 41, dan bekas banduan penjara Abu Ghraib Jameelah Abbas Hameedi, 57.

Dua lagi saksi yang tidak hadir, Ali Sh Abbas, 45, dan Rhuhel Ahmad, 27, memberi keterangan mereka menerusi akuan berkanun.

"Tribunal berharap berbekalkan keputusan ini, saksi (pengadu dan mangsa dalam kes ini) akan, pada masa depan, mencari sebuah negara atau sebuah entiti kehakiman antarabangsa, yang berupaya dan bersedia melaksanakan bidang kuasa dan menguatkuasakan keputusan tribunal ini terhadap lapan orang yang disabitkan kesalahan dan kerajaan mereka," katanya.

Lamin berkata tribunal itu menyedari sepenuhnya bahawa keputusannya semata-mata bersifat peristiharan dan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, tiada kuasa untuk mengenakan apa-apa hukuman melibatkan pemenjaraan terhadap mana-mana seorang atau kelapan-lapan tertuduh.

"Apa yang kami boleh lakukan ialah mengesyorkan kepada Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC), yang kami kini lakukan, untuk menyerahkan keputusan sabitan kesalahan oleh tribunal, bersekali dengan rekod prosiding ini, kepada Ketua Pendakwaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, selain Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan," katanya.

Dalam keputusan itu, tribunal berkenaan, antara lain, mencadangkan kepada KLWCC supaya nama kelapan-lapan orang yang disabitkan kesalahan itu dimasukkan ke dalam Daftar Penjenayah Perang suruhanjaya dan diberi publisiti yang sewajarnya. -BERNAMA

Artikel Lain