suria

TPM Lancar Karya Hikayat Klasik Cina 17 Mei Ini

KUALA LUMPUR: Buku hasil karya agung dalam kesusasteraan China - 'Hikayat Tiga Negara' - akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, pada 17 Mei ini.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan berkata buku itu antara lain mengandungi fakta dan latar belakang sekitar tahun 280 masihi.

"Dalam tempoh 60 tahun itu, pelbagai peristiwa berlaku termasuk kebangkitan tiga negara yang dikatakan bernama Wei, Shu dan Wan, yang sentiasa berperang sesama mereka yang tidak diketahui sehingga kini apakah puncanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai pelancaran buku itu, yang diterbitkan DBP dan diterjemahkan dari Bahasa Mandarin ke Bahasa Malaysia oleh Yuen Boon Chan dan Woo Tack Lok, di sini, Jumaat.

Turut hadir Presiden Persatuan Perterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif) Goh Hin San. LAGI BUKU 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR Selain diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia, buku itu pernah diterjemah dalam Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Rusia, Jepun, Korea, Vietnam dan Thailand.

Awang berkata sempena pelancaran buku itu, seminar berkaitan buku Hikayat Tiga Negara juga akan diadakan di DBP.

Sementara itu, Presiden Perspektif Goh Hin San berkata sempena pelancaran buku, China Institute of Strategy and Management dari China akan turut mengadakan pameran 'Hikayat Tiga Negara' mulai 17 Mei hingga 20 Mei di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Beliau berkata Perspektif giat mendapatkan penajaan untuk membeli buku klasik itu, yang berharga RM250 untuk kulit keras (satu set yang mengandungi empat jilid) untuk disumbangkan kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, semua sekolah menengah dan rendah.

Beliau berharap program perterjemahan buku dari Bahasa Malaysia ke Bahasa Mandarin dan sebaliknya juga diteruskan pada masa depan bagi merapatkan hubungan antara dua negara dalam bidang persuratan, bahasa, dan kesusasteraan klasik. -BERNAMA

Artikel Lain