suria

Tiga Wartawan Indonesia Tidak Ditahan - Polis

KUALA LUMPUR: Kedutaan Indonesia mengesahkan bahawa tiga wartawan yang dibawa ke ibu pejabat polis Port Dickson bukannya ditahan tetapi dilayan baik oleh polis.

Pemangku Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Mulya Wirana berkata, Indonesia dimaklumkan oleh polis di Port Dickson bahawa tiga warganya dibawa ke situ untuk disoal siasat pada malam Rabu.

"Mereka dilayan dengan baik dan hanya disoal oleh polis sebelum dibebaskan di bawah jagaan beberapa pegawai kedutaan sekitar pukul 12.30 tengah malam, Khamis," katanya.

Mulya berkata, ketiga-tiganya dijadualkan berlepas pulang ke Indonesia petang Khamis.

Tiga wartawan terbabit adalah Ilham Khoiri, Zen Teguh Triwibowo dan Muhammad Fauzi, masing-masing dari Kompas, Seputar Indonesia serta agensi berita Media Indonesia.

Menurut laporan, tiga wartawan itu dibawa ke balai polis untuk soal siasat selepas para penduduk di Linggi meragui kehadiran mereka.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh mengesahkan tiga wartawan itu telah ditahan.

"Kami tidak menahan tiga wartawan itu dan dua pelajar Indonesia dari kumpulan sama yang menyambung pengajian di sini.

"Kami hanya membawa mereka untuk soal siasat bagi mengesahkan status mereka dengan kedutaan Indonesia selepas mereka menceroboh kediaman penduduk," katanya.

Osman berkata, kelima-lima mereka tidak pernah diganggu atau ditakut-takutkan.

"Sebaliknya, kami menyediakan makanan dan memastikan mereka selesa," katanya.

Artikel Lain