suria

Sidang Dewan Negara Ditangguh, Lulus 21 Rang Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Dewan Negara yang bersidang 10 hari sejak 23 April lepas, ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sepanjang persidangan, Dewan Negara meluluskan 21 rang undang-undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012 dan rang undang-undang berkaitan keselamatan yang mencetuskan perdebatan hebat iaitu Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Empat lagi rang undang-undang berkaitan keselamatan yang diluluskan tanpa pindaan ialah Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012; Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2012; Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 dan Rang Undang-Undang Laut Wilayah 2012.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2011; Rang Undang-Undang Pengantaraan 2012 dan Rang Undang-Undang Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) 2012, yang berfungsi membantu pembangunan dan pentadbiran keselamatan jalan raya secara teratur.

Selain itu, tiga rang undang-undang berkaitan kewangan iaitu Rang Undang-Undang Cukai Pendapatan (Pindaan) 2012; Rang Undang-Undang Laporan Kewangan (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Syarikat Labuan (Pindaan) 2012 juga diluluskan tanpa pindaan.

Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Rukun Tetangga 2012, Rang Undang-Undang Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012, Rang Undang-Undang Jasa Perkasa Persekutuan (Elaun Kenangan) 2012 dan Rang Undang-Undang Pingat Tentera Udara (Elaun Kenangan) 2012.

Tiga rang undang-undang berkaitan universiti juga diluluskan tanpa pindaan iaitu Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012, Rang Undang-Undang Tinggi Swasta (Pindaan 2012) dan Rang Undang-Undang Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) (Pindaan) 2012.

Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2012 serta Rang Undang-Undang Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012 juga diluluskan tanpa pindaan.

Persidangan hari terakhir juga menerima penarikan balik pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang sebelum ini diluluskan Dewan Rakyat pada 19 April lepas.

Persidangan kali ini turut menyaksikan pelantikan semula Mohd Khalid Ahmad sebagai Anggota Dewan Negara dan pelantikan baru Pengerusi Koperasi Gula Perlis Abdul Shukor Mohd Sultan. - BERNAMA

Artikel Lain