suria

Polis Tumpas Geng Curi Kenderaan Pacuan Empat Roda

KOTA KINABALU: Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket curi kereta yang menyasarkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota dengan tertangkap tujuh lelaki termasuk seorang warga asing di beberapa lokasi pada akhir bulan lepas.

Polis turut merampas tiga jenis kenderaan iaitu Toyota Ninja King, Toyota Fortuner dan Toyota Prado serta pelbagai barangan curi bernilai hampir RM1 juta.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi Zakaria berkata kesemua suspek berusia antara 21 dan 38 tahun itu ditahan di Miri, Sarawak, Jalan Tuaran dan Kampung Air di sini, Tanjong Aru dan Kampung Bulbul di Semporna antara 20 hingga 28 April lepas.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, katanya satu pasukan khas ditubuhkan bagi menjejak sindiket itu selepas sebuah kenderaan Toyota Fortuner dilaporkan dicuri di pusat bandar pada 11 April lalu.

Katanya polis telah menahan tiga anggota sindiket itu di kawasan bandar Miri pada 20 April lalu dan berikutan hasil siasatan, baki empat lagi suspek ditangkap dalam operasi susulan. Beliau berkata dua daripada suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau serta positif dadah.

Katanya antara barangan lain yang dirampas ialah komputer riba, salinan surat akuan pendaftaran kenderaan, seutas jam tangan Rolex, empat pasang anting-anting, dua telefon bimbit dan beberapa keping kertas pajak gadai.

Beliau berkata kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain