suria

Perisian Komputer Cetak Rompak Bernilai RM5 Juta Dirampas

PETALING JAYA: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Petaling Jaya merampas perisian komputer cetak rompak bernilai RM4.9 juta dalam serbuan ke atas 26 syarikat di Lembah Klang bagi tempoh Januari lepas hingga Khamis.

Ketuanya Mohd Ruhani Bakar berkata perisian cetak rompak yang dirampas termasuk Adobe Creative Suites, Adobe Illustrator, Acrobat Pro, Encore, Adobe Flash Professional, Adobe Media Encoder, Adobe Sound booth, Microsoft Windows dan Microsoft Office.

Beliau berkata serbuan terbaru dilakukan ke atas dua syarikat di Damansara di mana perisian tidak berlesen dan komputer bernilai RM361,500 dirampas daripada kedua-dua syarikat.

"Serbuan ke atas sebuah syarikat di Damansara Intan dilakukan pada 4 Mei lepas manakala serbuan terbaru semalam ke atas sebuah syarikat di Saujana Damansara," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Mohd Ruhani berkata disebalik banyak serbuan dilakukan bahagian penguatkuasa bagi membanteras penggunaan perisian cetak rompak oleh syarikat korporat, penggunaannya masih berleluasa.

Katanya syarikat dan lembaga pengarah syarikat yang didapati menggunakan perisian cetak rompak boleh didakwa mengikut Akta Hak Cipta yang memperuntukkan hukuman denda antara RM2,000 dan RM20,000 bagi setiap salinan perisian cetak rompak atau penjara lima tahun. -BERNAMA

Artikel Lain